Monday, 30 April 2012

Amalan Berjimat Cermat

Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.

Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu sediakan payung sebelum hujan.
Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.

Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.

Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.
Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

Thursday, 26 April 2012

Faedah Berjimat cermat

Kebanyakan daripada kita telah disarankan agar berjimat cermat sejak kecil lagi. Kita perlu berjimat cermat sama ada dalam perbelanjaan seharian, ketika menggunakan air dan elektrik, dan sebagainya. Berjimat membawa maksud berhemat atau berhati-hati ketika menggunakan sesuatu. Sebenarnya, konsep jimat  tidak hanya berkaitan dengan wang. Jimat merangkumi aspek masa dan tenaga. Misalnya, untuk menjimatkan masa dan tenaga, kita memilih untuk berbasikal ke sekolah. Contoh lain ialah kita menelefon kawan lebih dahulu untuk memastikan dia ada di rumah apabila kita berkunjung ke rumahnya.
               
         Tujuan berjimat adalah supaya kita tidak melakukan sesuatu dengan sia-sia. Misalnya,kita perlu berjimat menggunakan wang. Caranya, adalah dengan membeli barangan yang perlu saja. Hal ini untuk mengelakkan kita membazirkan wang begitu saja. Berjimat ketika berbelanja membolehkan kita menyimpan wang. Wang tersebut dapat digunakan pada saat-saat kecemasan. Malah, sesebuah keluarga dapat merancang masa depan anak-anak mereka dalam pelajaran dengan mengamalkan tabiat berjimat cermat dari awal. Selain itu, sikap berjimat cermat dapat mengelakkan kita daripada tabiat suka berhutang.
              
          Amalan berjimat juga dapat menjadikan kita lebih berdisiplin dalam melakukan sesuatu. Orang yang berjimat dalam menggunakan masa, tidak akan membiarkan diri mereka lalai tanpa membuat sesuatu yang berfaedah. Peribahasa ‘’masa itu emas’’ akan menjadi pendorong kepada golongan ini agar menggunakan masa dengan sebaik-baik mungkin. Bagi pelajar, mereka perlu mengisi masa terluang dengan mengulang kaji pelajaran.
        
           Kesimpulannya, amalan berjimat cermat bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah membuat perancangan sebelum memulakan sesuatu. Dalam hal ini, kita perlu menanamkan dalam minda bahawa amalan berjimat cermat pasti akan membawa kebaikan kepada diri sendiri. 
  

Wednesday, 25 April 2012

Tips Berjimat Cermat

Buat mereka yang gemar menghabiskan wang terutama bila ber-shopping. Tabiat ini bukanlah sesuatu yang elok untuk diamalkan. Jadi bagi mengurangkan tabiat buruk ini, amalkanlah tips ini yang mungkin berkesan.

Antaranya ialah:-
1.Biar duit anda dipegang sahabat yang anda percayai. Anda pasti akan kurang berbelanja.Ini kerana perasaan malu yang berada dalam diri anda untuk meminta duit anda daripada rakan anda.Namun sekiranya anda jenis orang yang tak tahu malu,tolong jangan amalkan tips ini kerana tidak akan berkesan terhadap anda.

2.Mengurung diri dalam rumah. Tips ini amat berkesan namun cara ini tidak sesuai untuk kesihatan.Anda tidak perlu mengurung diri sepanjang minggu,cukuplah sekadar dua hari iaitu hari sabtu dan ahad.

3.Bawa hanya sedikit duit mengikut keperluan apabila keluar dari rumah. Bawa sedikit saja cukup untuk membeli barang keperluan ataupun cara yang paling senang ialah simpan dompet anda dan hanya membawa kad pengenalan dan lesen memandu supaya tak kena saman ketika memandu.

Anda perlu tahu menilai, mana keperluan dan mana keinginan. sekiranya mampu menilai kedua perkara ini dengan baik maka anda layak untuk menerima gelaran 'PENGGUNA YANG BIJAK'.